Pertama kali menjejakkan kaki ke laman rumah 2 keluarga muallaf ini, hati sudah mula dirundung simpati. Muhammad Raihan kelihatan sudah berdiri di anjung rumahnya tersenyum manis mempelawa kami bertamu di teratak milik keluarga muallaf berbangsa Dusun yang baru 5 tahun memeluk Islam. Bersama Pakcik Salimin yang membawa kami bertemu keluarga ini, kami seterusnya mengatur ziarah untuk kali ke dua di rumahnya di Kg Log Poring, Sepanggar.


Ziarah kali kedua pada 27 Julai 2009 ini disertai bersama oleh rombongan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar iaitu Sdr. Muhd Nuriy Kamaruzaman. Ketibaan kami seperti biasa disambut mesra oleh Muhammad Raihan bersama anak-anaknya yang baru balik dari bersekolah. Beliau belum ada pekerjaan tetap, hanya dengan berkebun dan memungut hasil getah yang tidak seberapa sahaja sumber untuk menyara kehidupan seharian dan sekolah anak-anaknya.


Muhammad Raihan memeluk Islam pada tahun 2003 dan ketika itu hanya beliau dan abang sulungnya yang memeluk Islam dalam keluarga mereka. Ahli keluarga yang lain masih kekal dalam agama Kristian. Isteri beliau baru sahaja meninggal pada 22 Mei yang lalu ketika sedang nazak melahirkan anaknya yang ke dua. Sehingga ke hari ini, beliau sukar mendapat pekerjaan tetap kerana masalah penjagaan anak.

Muhmmad Azhar sedang mambasuh baju sekolahnya

Semasa kami sedang asyik berbual, anak ke dua dari abang sulungnya Muhamad Azar baru tiba dari sekolah. Di ruang tamu, kakak sulung Muhammad Azhar iaitu Nor Fatihah sedang membetulkan kasut-kasut sekolah mereka yang agak lusuh. Dari luar rumah begitu jelas kelihatan baju dan beg sekolah tersangkut bersama pakaian lusuh yang biasa dipakai oleh ayah mereka keluar bekerja. Itulah ruang tamu mereka itu jugalah dapur masak mereka. Muhammad Azhar yang baru tiba dari sekolah, muncul semula dari dalam rumah, berlari ke sebuah ruang kecil di sebelah kiri rumah mereka. Ruang tersebut cuma dikelilingi papan kecil dan atap zink dan ditengahnya sebuah bekas untuk menadah air. Rupanya, itulah tandas mereka.

Pertemuan singkat bersama keluarga Muhammad Raihan berkakhir menjelang maghrib. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih dan gembira dengan kehadiran kami semua. Sebelum bersurai, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Sdr Nuriy Kamaruzaman memberikan sedikit sumbangan berbentuk makanan asasi untuk keluarga Muhammad Raihan. Moga dengan sumbangan yang sedikit ini, dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga ini menghadapi hari-hari yang akan datang.

dipetik dari http://www.dppsabah.blogspot.com/

Bersambung di http://nurilhakim.blogspot.com/

Friday, July 31, 2009

Harapan Ramadhan – Raihan

‘Rumah’ Raihan. 4 keping papan lapis yang menutupi satu ruang tidur-makan-masak-berehat.
Hanya bermain yang Fendi pandai. Bagaimanakah nasibnya 3,4 tahun akan datang?
Melangkah keluar daripada Masjid Negeri dengan tersenyum. “Ini kali pertama saya memasuki masjid dan menunaikan solat sejak tahun 2003 saya memeluk Islam.”

Petang itu kami sekali lagi ke rumah Saudara Raihan. di Kampung Log Poring, Sepanggar. Pertemuan kali pertama bertujuan membawa sedikit sumbangan sambil bertanya khabar, mendambakan kunjungan kali kedua. Saudara Raihan perlukan bantuan untuk mengurus surat beranak anaknya. Sebelum ini dia hanya tunduk pada cakap-cakap orang bahawa untuk mengurus surat beranak anak-anak begitu susah. Tetapi setelah isterinya meninggal dunia bulan Mei yang lepas, dia nekad untuk memastikan masa depan anak-anaknya, Fendi, 4 tahun dan Ariana, 2 tahun, cerah.

Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. ‘Kawan’ yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. ‘Wailullil mukazzibin’, sebut Haji Adenan. ‘Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta’. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.

Raihan bingung. Kejujurannya dipertikaikan. Kami memujuk dan mengajaknya ke kedai buku berhampiran. Katanya, dia bersungguh-sungguh mahu belajar menunaikan solat tetapi tiada yang dapat mengajar. Kami membelikannya beberapa bahan bacaan ringan dan berjanji membantu sedaya mungkin. Dia mengangguk.


Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.


Akhir sekali kami mempelawa Raihan makan di sebuah restoran. Dia enggan memesan makanan. Ujarnya, ini kali pertama dia menemui orang Islam sebaik ini sejak dia mula memeluk agama Islam. Orang Islam yang prihatin akan nasibnya dan bersungguh-sungguh cuba membantunya. Kami meyakinkan dia bahawa masih ramai umat Islam di luar sana yang ingin membantu beliau tetapi tidak mendapat maklumat. Kami meyakinkan dia bahawa jika mengetahui apa yang berlaku terhadap dirinya dan anak-anaknya, pasti ramai yang akan membantu. Dia yakin dengan kata-kata kami. Dia yakin dengan anda. Dia yakin bahawa anda akan membantu menunaikan sebuah harapan menjelang Ramadhan. Harapan Ramadhan Raihan.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s