DSC01597(edited)

Bismilahirahmani rahim.

Di sekolah menengah, tak banyak perkara yang saya ingat atau mau ingat, sekadar kenangan zaman tidak matang. Kemudian, saya melanjutkan pelajaran ke ITM (waktu itu) mengambil jurusan TESL di Shah Alam. Di sinilah segalanya berubah, di sini saya belajar tentang dunia yang kelihatan indah & seronok, walaupun sebenarnya penuh dengan hipokrasi & kegelapan. Saya mula memasuki zaman kegelapan & kejahilan di sini, & saya biarkan diri saya berada di dalam keadaan tersebut. Saya bertuah kerana dikurniakan ibubapa yang berada dalam fikrah Islam yang sentiasa mendidik saya, yang sebenarnya kerana hasil didikan mereka itulah dengan kasihNya saya tidak pergi terlalu jauh sehingga saya tak dapat kembali. Pun begitu hidup saya waktu itu penuh dengan kegelapan yang tidak perlulah saya ceritakan di sini, biarlah ia menjadi antara saya & Allah Yang Maha Mengetahui.

Sehingga satu ketika, saya telah di’kick’ dari universiti, kerana tidak mempunyai pointer yang cukup, walaupun bukan salah saya (tapi saya tetap salah, kerana membiarkan orang memperlakukan saya sesuka hati lantaran kerana saya sendiri yang terlalu leka). Bila saya menelefon ibubapa saya memberitahu mereka tentang perkara tersebut, saya mengharapkan mereka untuk marah, tapi mereka cuma berkata, “Takpelah, yang penting, lain kali mesti belajar betul-betul kalau ada peluang,” & air mata saya mengalir deras malam itu.

Hidup saya selepas itu semakin gelap, samada dari segi sosial atau masa depan. Selama setahun lebih saya membuat pelbagai kerja di KL & Subang, dari salesman ke despatch & akhirnya kitchen helper di Sushi King Subang. Waktu ini saya diuji Allah dengan pelbagai perkara, tak dapat balik raya kerana tiada duit (saya beraya di Sunway Pyramid hari raya pertama tu), motor KIPS saya dicuri, & pelbagai lagi. Pun masih tak berubah.

Menggunakan sijil matrikulasi, saya berjaya belajar kembali di UiTM mengambil jurusan yang sama, kali ini saya tak mensia-siakan peluang kedua yang datang. Saya belajar dengan tekun, sehingga menjadi antara yang berada dalam kumpulan terbaik. Pun begitu, kehidupan sosial saya masih lagi tak berubah, walau mungkin tak seperti sebelumnya, saya masih lagi banyak mengikut perasaan bukannya iman.

Kerana satu niat yang baik untuk menyelesaikan satu masalah walau tanpa ilmu, saya memohon untuk diposting ke Sabah. Saya gagal selesaikan masalah tersebut, & kehidupan saya seakan hilang tujuan. Alhamdulillah saya dikurniakan sahabat-sahabat yang baik & sentiasa mendidik saya melalui nasihat & perlakuan mereka. Ustaz Zul Amri & Fakar diantaranya. Ust. Zullah yang membawa saya ke dalam jemaah, membawa saya mengenali dunia yang penuh dengan ukhuwah, ilmu, & kebaikan untuk saya & orang lain.

Pernah saya memberitahu kepada Ust. Zul bila saya merasa dengan latarbelakang saya & zaman gelap yang saya lalui, saya mungkin hanya akan mencemarkan jemaah sahaja kalau saya buat sesuatu yang tak sepatutnya, saya katakan padanya saya rasa saya tak layak berada bersama-sama dalam jemaah. Ustaz Zul cuma menjawabnya dalam satu ayat yang ringkas tapi penuh makna yang saya masih ingat sampai sekarang. Katanya; “Janganla buat jahat.”

Dengan kepercayaannya saya cuba meneruskan pengimarahan surau sekolah bila Ust. Zul pindah balik ke Semenanjung. Dan saya juga mengenali Ust. Abdullah Din yang banyak menurunkan ilmu & memberikan kepercayaan kepada saya untuk berada di medan dakwah, & dari beliau saya banyak belajar untuk berdakwah kepada muslim & non-muslim. Juga pemimpin & sahabat yang banyak mendidik; Ckg. Anuar & Ust. Hafizullah.

Kemudian, dengan satu niat yang baik (walaupun sebenarnya masih belum cukup ilmu & persediaan sebenarnya), saya berkahwin. Dan kerana sebab yang saya beritahu tersebut, rumahtangga kami dilanda badai. Tapi hasil dari pertolongan dari sahabat-sahabat, kami bersatu kembali, & alhamdulillah kami dikurniakan putera yang mengikat lagi kasih sayang kami. Segalanya berjalan dengan baik waktu itu, saya berjaya menamatkan pengajian sarjana TESL di UMS, & dalam tugas saya berjaya mendapat anugerah guru terbaik BI di peringkat SMTeknik Malaysia.

Tapi kita merancang, Allah yang menentukan, kami dilanda badai sekali lagi, walaupun ia tidaklah seteruk dulu, tapi saya tidak sedar keadaan waktu itu sudah berubah, orang yang saya kenali pun sudah berubah, & hasilnya kami telah berpisah. Tidak perlu untuk saya menceritakannya di sini. Biarlah ia kekal peribadi. Kerana itu juga, saya terpaksa melepaskan pengajian diploma pengajian Islam saya di UMS.

Saya kemudiannya pindah ke rumah sahabat-sahabat saya di pejabat DPPN Sabah. Bersama mereka saya mengenali budaya hidup tinggal sebumbung bersama-sama rakan jemaah. Sesuatu yang tidak pernah saya alami sebelum ini.

Waktu itulah, tiba-tiba saya diuji Allah lagi, sukar untuk saya ceritakan bagaimana ujian itu, cukuplah saya katakan hanya beberapa orang sahabat yang tahu, & sebenarnya saya tidak pernah memberitahu kesemuanya kepada mereka kerana ia melibatkan orang yang penting dalam hidup saya. Mungkin ujian itulah yang paling berat pernah saya hadapi dalam hidup. Dalam tekanan yang sangat berat itu, saya banyak dibantu oleh sahabat-sahabat yang banyak memberi sokongan & doa, tapi apa yang paling mengharukan saya ialah, sahabat-sahabat sebumbung saya yang sanggup mengorbankan masa, tenaga mereka untuk saya. Nadir, Umar, Murtadha, Nizam, KY, Salman adalah antara sahabat-sahabat sejati yang  saya mohon moga Allah memberikan mereka sebaik-baik balasan di akhirat nanti.

Di situlah saya mendapat semula kekuatan. Ada satu ketika, saya merasa saya seperti baru dilahirkan, saya mendapat kekuatan untuk bangkit kembali, untuk berubah kepada yang lebih baik. Dan Allah itu memang Maha Kuasa. Di waktu itu dengan kuasa Allah saya mengenali seorang sahabat yang sedang belajar di Mesir yang saya tak pernah lihat wajahnya hingga kini; Ira yang banyak mengajar saya bahawa cinta yang sebenar itu hanyalah cinta kepada Allah. Astarfighullah, betapa saya seorang yang telah menzalimi diri saya sendiri. Betapa selama ini saya telah banyak melakukan kesilapan & dosa kerana lupa akan perkara yang paling penting; ‘Adakah beerti menyayangi manusia kalau kita tidak benar-benar menyayangi Allah?

‘Bagaimana kita boleh mengubah orang lain sekiranya kita tidak mengubah diri kita sendiri?’

Jun lalu, bila saya berhijrah ke Penang, saya merasa kehilangan yang amat. Saya rindukan suasana & sahabat-sahabat saya di Sabah. Juga sentiasa rindukan putera saya yang kini tinggal dengan ibubapa saya di Terengganu. Saya keseorangan di sini dengan pelbagai kemungkinan. Saya takut terumbang ambing lagi tanpa panduan. Saya merasa tidak kuat untuk berjuang & berubah seorang diri. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan sahabat-sahabat jemaah di sini yang saling menghormati. Saya mencari-cari ruang untuk bersama-sama berbuat sesuatu untuk diri & masyarakat. Dan saya ingat pesan Ira tentang cinta hidup mati itu kerana Islam, kerana Allah, & saya terus cuba menuju ke arah itu & dalam masa yang sama hati saya masih berperang dengan pelbagai dugaan & ujian, samada yang melemahkan atau melalaikan.

Kemudian, sebulan yang lalu, Ramadhan yang penuh barakah tiba, & saya sebenarnya tidak menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi Allah itu. Masih banyak lompang & kekurangan yang tak sepatutnya berlaku.

Di tempat kerja, sahabat saya, Ust. Hishamudin yang saya panggil Ust. Mud, giat menghidupkan Ramadhan di sekolah kami. Termasuklah menghidupkan malam-malamnya. Ust. Mud istiqamah tidur di surau sekolah kami bersama pelajar sejak 10 malam terakhir Ramadhan. Biasanya ditemani anak lelakinya yang cuma tua sedikit dari Wafiy. Ust. Mud istiqamah mengimamkan solat kami, sujud berdoa merintih meminta ampun & keredhaanNya.

Dalam masa yang sama, saya juga semakin rapat dengan sahabat-sahabat jemaah di sini, & saya sentiasa merasa indahnya Islam apabila melihat akhlak & layanan mereka, seperti yang ditonjolkan oleh sahabat saya Ust. Afnan Hamimi Taib Azamudin. Beliau sentiasa cuba melayan & membantu sahabat sebaik-baiknya, di samping komitmen yang tinggi pada perjuangan Islam.

Di hujung Ramadhan ini, di Masjid Batu, saya merenung diri berfikir mencari satu kesimpulan dari apa yang telah terjadi pada diri, orang-orang yang saya sayangi, sahabat-sahabat yang sentiasa istiqamah & tentang hidup saya yang telah banyak saya sia-siakan selama ini.

Walau betapa baiknya sahabat-sahabat kita, sebenarnya hanya Allah lah yang berkuasa mengubah kita, dan dengan izin Allah jualah kita dipertemukan dengan sahabat-sahabat & manusia-manusia yang mengajar kita untuk menjadi lebih baik dalam hidup kita ini.

Bila kita benar-benar ikhlas  dengan Allah, kita sedar siapa diri kita. Kita sedar, yang sebenarnya, Allahlah yang paling menyayangi kita. Dialah yang berkuasa memberikan hidayah, & dialah juga yang berkuasa menariknya kembali jika Dia mahu. Betapa banyak dosa-dosa yang telah saya lakukan, betapa banyak telah saya menzalimi diri saya sendiri, tapi Allah tetap memberi saya peluang sujud & berdoa memohon keampunnanya. Allah tetap memberi saya nafas untuk terus merintih, menangis, menyesali dosa-dosa saya. Betapa sebenarnya siapa lagi yang paling memahami kita, kalau bukan Allah Al-Khaliq? Betapa hebatnya Allah, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, & Yang Maha Pengampun. Akhirnya saya sedar, dengan Allah saya sebenarnya tak pernah keseorangan.

Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan aku Ya Allah. Ampunkan aku Ya Allah.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar.

Ameen. Ya Robbil alamin.

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Ar-Rahmaan: 13

 

وَلَا تَهِنُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

Aali Imran: 139

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s