Di saat ada satu kumpulan manusia berkumpul di kedutaan Mesir untuk membantah tindakan keji kerajaan Mesir menghalang bantuan kepada rakyat Palestine, samada melalui sekatan kepada konvoi bantuan ataupun menyekat terowong penyambung hidup rakyat di Gaza, ada satu lagi kumpulan manusia yang menumpukan perhatian pada satu isu yang saya kira, ramai yang sekadar mengikut tanpa mengkaji. Ya, mungkin ada yang marah dengan kenyataan ini & saya pasti kemarahan itu berasas, tapi marah yang sekadar mengikut tanpa ilmu & melihat realiti sebenar itu juga salah.

Di satu sudut sebenarnya apabila ada persamaan, dakwah itu lebih mudah disampaikan, & ini berdasarkan pengalaman sayasendiri  secara direct dalam bidang ini di Sabah selama beberapa tahun sebelum ini. Ini memang isu penting, tapi yang lebih penting ialah; tanya diri kita; ” Apa yang kita dah lakukan untuk berdakwah kepada mereka yang bukan Islam di negara kita? Banyak tindak tanduk kita khasnya masyarakat melayu khususnya yang menjauhkan golongan ini dari Islam sebenarnya.

Bila Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah ketika hayatnya, Baginda s.a.w. bukan sekadar berdakwah kepada orang Islam sahaja, bahkan kepada orang bukan Islam juga, & dilakukan dengan penuh hikmah & kebijaksanaan. Jangan hanya bertindak sekadar mengikut emosi semata-mata tanpa mengira apa sebenarnya yang tertulis di dalam Al-Quran.

Pada masa yang sama, beberapa gereja diserang oleh mereka yang tidak diketahui siapa, seolah-olah satu kebetulan yang datang disaat kita sebenarnya sepatutnya fokus pada isu-isu yang lebih besar dalam negara sekarang. Seakan-akan ada tangan-tangan ghaib yang sedang terseyum…Liputan mengenai bantahan atas isu kalimah Allah keluar di semua saluran media perdana, sedang bantahan terhadap kerajaan Mesir seolah-olah ditutup rapat dari umum…kenapa agaknya ya?

Baca 3 tulisan di bawah, & kalau saya perlu memilih untuk pergi ke demonstrasi mana tadi, dengan mudah saya akan memilih untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan Mesir yang menindas saudara-saudara saya di Palestin, & saya yakin insyaAllah, saya membuat pilihan yang sepatutnya

Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita, moga Allah memberi hidayah kepada mereka yang belum Islam itu, & moga mereka yang sudah Islam itu faham & amalkan Islam yang sebenarnya, bukan sekadar adat atau ikut, tapi dengan ilmu & kefahaman. Pastinya kita wajib bangkit sekiranya mereka menyalahgunakan perkataan Allah itu, tapi soalnya sekarang, adakah itu yang berlaku? Atau kita yang sedang disalahgunakan?

Saya mohon keampunan Allah, & saya mohon kemaafan jika ada salah dalam tulisan ini.

Tulisan di bawah dipetik dari http://harakahdaily.net/v2/

Dr Dzulkefli Ahmad
 

Saya amat insaf isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau “Mixed”, kesan “senjata dua mata” atau “double-edged sword” ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan
dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah “Allah” sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama “Allah” oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 :

“Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat “Rububiyah”(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat “persaudaraan agama samawiyat”, paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran:

“….kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri”…..

Surah Al-Angkabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima “Allah”, walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.

Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama “Allah”, maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama “Allah” itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.

Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri . Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.

Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti Perkara 11 (4). Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.

Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya.

Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1-Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?

Pada saya yang lebih penting dari memperjuangkan isu nama “Allah” itu, ialah memperjuangkan Apa yang Allah perintahkan kepada kita ummat Islam, termasuk menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, kezaliman dll!

*Dr.Dzulkefly Ahmad ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor

Penggunaan kalimah “ALLAH”
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
 

Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja katholik mengguna-pakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan ALLAH adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama ?. Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu di fahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab ?. Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini ?. Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat islam di serata dunia yang terdiri dari berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah di sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.

Firman Allah bermaksud:

63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah bermaksud:

25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah bermaksud:

38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.

Firman Allah bermaksud:

9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:” siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”.

Firman Allah bermaksud:

87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD dan LORD; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al Asma Al Husna) . Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya. Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAH yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka di sebut ALLAH. Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam”.

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang di halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama-sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan  bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah ALLAH di hadapan umat Islam.

Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan  apa nama sekalipun :

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan  suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud :

108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

___________________________________________________________________________________

Petikan di bawah adalah sebagai rujukan. Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/bm/

‘Kami guna ‘Allah’ ratusan tahun, kenapa halang?
// Siong T
Jan 8, 10

Penggunaan nama Allah dalam menterjemahkan Bible (bahasa Inggeris) ke Alkitab (bahasa Melayu) dibuat oleh mereka yang datang menyebarkan Injil di Borneo beratus-ratus tahun dahulu. Orang-orang ini datang dari Australia dan Britain.

Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka memilih nama Allah sebagai terjemahan God dalam Alkitab. Kemungkinan mereka merujuk Alkitab edisi bahasa Arab dan memutuskan untuk menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan oleh orang Kristian Arab.

Lagi pun orang Kristian Arab muncul lebih awal daripada orang muslim Arab. Katakan, mereka menggunakan nama lain pada masa mula-mula Alkitab diterbitkan dalam bahasa Melayu, kami orang Kristian dari suku-suku minoriti di Sarawak akan terima sahaja.

Saya pasti pada masa itu, ketika Sarawak belum bergabung dengan Malaya, tiada masalah menggunakan nama Allah sebab tiada halangan dan larangan daripada sesiapa.

Sekarang sudah sekian lama kami menggunakan nama Allah dalam semua ibadah, doa, nyanyian, serta penulisan dan penerbitan. Amalan ini terbawa-bawa sehingga terbentuknya Malaysia.

Kalaulah orang Sarawak yang berkepercayaan Kristian tahu bahawa mereka akan dihalang menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Malaya, saya fikir, belum tentu terbentuk sebuah negara Malaysia.

Dalam hujah peguam yang mewakili Herald di mahkamah, mereka menunjukkan bukti bahawa sudah ada bahan terbitan Kristian dalam bahasa Melayu sejak lebih kurang 400 tahun yang lampau. Maka dakwaan orang muslim Malaysia bahawa orang Kristian di Malaysia baru sahaja hendak menggunakan nama Allah adalah tidak berasas.

Nama Allah sudah lama kami gunakan. Kenapa sekarang, orang muslim Malaysia hendak menghalang kami daripada menggunakan nama Allah yang sudah sekian lama kami guna pakai, malah sebelum terbentuknya Malaysia lagi?

Suku-suku peribumi di Sarawak tidak fasih berbahasa Inggeris. Oleh sebab itu mereka tidak mampu memiliki Alkitab dalam bahasa Inggeris yang dipanggil Bible. Namun mereka boleh memahami bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

Pada masa sama, agak sukar untuk terjemahkan Bible ke bahasa ibunda suku masing-masing kerana kekurangan pakar bahasa di kalangan mereka.

Maka, untuk memudahkan orang Kristian daripada suku-suku peribumi ini dapat memperdalamkan pengetahuan mereka dalam kepercayaan Kristian, mereka perlu memiliki satu Bible yang diterjemahkan dalam bahasa yang mereka fahami, iaitu bahasa Melayu loghat Indonesia.

Pada masa itu, orang Melayu di Malaya belum dikenali sangat oleh suku-suku peribumi Sarawak ini, begitu juga bahasa mereka. Maka, mereka mendapat terjemahan Bible dalam bahasa Indonesia yang dipanggil Alkitab Suci.

Kandungan Bible yang merujuk kepada Lord God juga diterjemah sebagai Tuhan Allah tanpa ada sebarang masalah. Ia diterima dengan aman dan sukacita. Saya yakin Alkitab pada masa itu dicetak di Indonesia, dan orang muslin di Indonesia tidak pernah dikelirukan iman mereka sampai sekarang.

Pada tahun 16 Sept 1963 maka terbentuklah Malaysia. Sarawak bergabung dengan Malaya membentuk Malaysia.

Sarawak, bersama-sama rakyatnya seperti kami, membawa masuk kepercayaan Kristian kami ke dalam kelompok rakyat Malaysia. Kami tidak pernah diarahkan supaya berhenti guna nama Allah selepas bergabung dengan Malaysia.

Kami pun tidak terfikir bahawa suatu hari nanti orang muslim Malaysia akan melarang kami menggunakan nama Allah kerana kami sedia maklum bahasa perkataan Allah adalah dipetik dari bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Sehinggalah sekarang, baru kami tersentak dan terkejut. Kami dilarang menggunakan nama Allah dalam Alkitab, dalam semua penulisan dan penerbitan Kristian.

Sudah sekian lama kami sudah panggil Dia yang kami sembah sebagai Tuhan Allah, dan sekarang ia dilarang pula. Saya kasihan memikirkan tentang nenek, datuk dan ibu bapa kami di kampung yang tidak tahu-menahu bahawa mereka dilarang menyebut nama Tuhan Allah.

Bagaimana kami cucu-cuc dan anak-anak mereka hendak menerangkan kepada mereka mengenai larangan ini? Mereka sudah tentu akan menjawab, “sudah sekian lama kita menyebut nama Tuhan Allah, kenapa sekarang tidak boleh?”

Saya yakin, walau dilarang sekalipun, mereka akan tetap menyebut nama Tuhan Allah sampai bila-bila sebab perkataan itu adalah nama yang mereka sebut sejak turun-temurun.

Generasi terkini, yang fasih berbahasa Inggeris, tidak mempunyai masalah kerana mereka mampu mengerti Alkitab dalam bahasa Inggeris iaitu Bible dan boleh menghadiri kebaktian atau semua aktiviti ibadah, doa, nyanyian dalam bahasa Inggeris di mana-mana tanpa perlu menyebut Allah, melainkan Lord God.

Tetapi orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris terpaksa menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Pada masa dulu, setelah mengikuti sekolah di bawah kerajaan Malaysia, semakin ramai anak-anak generasi masa itu fasih berbahasa Melayu.

Apabila bahasa Malaysia menjadi semakin digunakan berbanding bahasa Indonesia, maka wujud satu generasi yang kurang memahami bahasa Indonesia tetapi lebih memahami bahasa Malaysia.

Maka, diusahakan satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia yang masih mengekalkan nama Allah. Salah satu Alkitab terjemahan bahasa Malaysia ada pada simpanan saya dan itulah Alkitab yang sentiasa saya gunakan.

Di kampung sendiri mungkin boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri, tetapi nama Tuhan Allah tetap digunakan. Sebab dalam bahasa ibunda, tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggantikan nama Allah. Lagipun kami sudah sebati dengan nama ini kerana sudah dipakai sejak turun-temurun.

Mungkin ada suku-suku yang telah memilih nama khas dalam bahasa mereka untuk tujuan terjemahan dalam bahasa masing-masing, tapi dalam bahasa suku saya, belum ada.

Jadi dalam kes suku saya, masih kena menggunakan nama Tuhan Allah, lagi pun suku saya kekurangan perkataan. Banyak perkataan yang dipinjam daripada suku atau bangsa lain. Berbeza di bandar, anggota sesebuah gereja itu terdiri daripada pelbagai suku bangsa.

Ada gereja yang mengadakan dua sesi kebaktian pada hari Ahad, satu sesi untuk penutur bahasa Inggeris, satu sesi untuk mereka berbahasa Malaysia. Ada juga yang mengadakan sesi untuk bahasa Cina dan Tamil, bergantung kepada keperluan bahasa dalam gereja itu.

Di bandar, saya menghadiri sesi berbahasa Melayu sebab saya kurang fasih berbahasa Inggeris. Dalam gereja terdapat pelbagai suku bangsa, maka kena menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami semua orang. Jadi, cuba fikirkan?

Sampai hatikah orang muslim Malaysia memaksa orang-orang seperti saya daripada suku-suku minoriti yang lemah ini berhenti memanggil Tuhan mereka dengan nama Tuhan Allah? Jangan lupa bahawa kami sudah lama, malah sebelum terbentuknya Malaysia, telah memanggil Tuhan yang kami sembah dengan nama Tuhan Allah.

Andai kata kami semua fasih berbahasa Inggeris, saya yakin Bible tidak akan diterjemah ke bahasa Indonesia atau bahasa Melayu.

Andai kata pada masa dulu orang yang mula-mula menterjemahkan Bible kepada bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia memilih nama lain untuk terjemahkan God, dan bukan Allah, kami tidak kisah asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi serta segala isinya, manusia iaitu Adam dan Hawa.

Asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh Nabi Abaraham, Isak dan Yakub, Tuhan yang disembah oleh Nabi Noh, Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa yang membawa orang Israel keluar dari tanah Mesir, Nabi Harun, Tuhan yang disembah oleh Maria (bukan Nabi) yang melahirkan Yesus (Nabi Isa) secara luar biasa tanpa persetubuhan.

Bagi kami, nama itu tidak penting, yang penting kami menyembah Tuhan yang sama seperti yang disembah oleh Nabi-nabi yang tersebut tadi.

Namun begitu, nama Allah sudah turun-temurun kami guna pakai untuk berseru kepada Tuhan yang disembah Nabi Abraham dan Nabi-Nabi lain. Sudah sebati di hati kami.

Kami boleh saja tukar nama itu bila-bila masa. Tetapi, sudah sekian lama kami memanggil nama Allah, malah sebelum Sarawak bergabung dengan Malaya.

Bukankah pelik bagi seseorang kalau dipaksa menukar nama yang selalu disebutnya untuk berseru kepada Tuhannya kepada nama lain?

Begitulah sedikit komen dari saya. Saya tidak berniat hendak berdebat atau menyinggung perasaan atau memperlekehkan mana-mana pihak.

Siong T, seorang profesional dalam lingkungan 30-an, penganut Kristian daripada suku minoriti Kenyah Badeng di Sarawak. Artikel ini disiarkan di sini, dengan suntingan, bagi menggalakkan dialog berhubung polemik isu ‘Allah’.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s