Ini adalah sambungan dari tajuk yang sama sebelum ini. Kali ini dipaparkan artikel yang diharapkan dapat membuka minda-minda, terutamanya bagi mereka yang masih meninggikan akademik semata-mata, & pada masa yang sama merendahkan usaha-usaha meningkatkan ilmu & akhlak Islam.

Moga Allah mengampuni kita, moga Allah memberi kita petunjuk & hidayahNya. Amin.

Artikel di bawah adalah tulisan Nafsah Dulajis http://khayra-ummah.blogspot.com/

Berijazah Tidak Bertaqwa

Namanya Theodore John Kaczynski atau digelar sebagai Unabomber. Mencatat kejayaan sebagai pembunuh kepada 3 orang dan mencederakan 23 orang lagi hasil keganasan yang dirancangnya selama 23 tahun.

Beliau digelar sebagai genius dalam bidang Matematik, dan memperolehi gelaran doktor Matematik pada usia semuda 21 tahun.

Akhirnya…menaburkan jasa dengan bom buatan tangannya untuk meragut nyawa manusia.

Kisah-kisah yang seakan biasa melintas lalu di telinga.

Dan dia?

Seorang individu yang digelar doktor yang mencapai status yang tinggi dalam masyarakat. Berpeluang memperhalusi keagungan ciptaan Tuhan yang kompleks iaitu manusia. Memilih untuk mengakhiri hidupnya dengan menggantung diri sebagai jalan keluar.

Menggadaikan nyawanya pada kipas siling….!

Telinga seakan lali juga dengan kisah sebegitu.

Dia pula?

Seorang yang berjawatan tinggi dan berpendapatan besar. Serba cukup, serba mewah. Tidak dikategorikan sebagai miskin mahupun fakir.

Tetapi memilih untuk menambahkan kekayaan dengan jalan rasuah. Menerima wang bukan pada jalannya untuk terus ‘menyara’ hidup serba mewah itu.

Ajaib!

Itulah produk yang dihasilkan oleh kebanyakan sistem pendidikan di dunia hari ini. Yang tidak mengenal Tuhan, yang menaruh rasa takut kepada selain Allah, yang mensyirikkan Allah, yang menghalang manusia di jalan Allah.

Berijazah, tetapi tidak bertaqwa!

BERIJAZAH TIDAK BERTAQWA

Negara gempar, apabila sijil boleh dijual-beli.

Saya tidak merasakan itu adalah satu perkara yang membimbangkan, apabila masyarakat turut beranggapan bahawa ijazah itu adalah segala-galanya.

Sepatutnya kita sudah melahirkan ratusan ulama’, sekiranya sijil yang dikeluarkan itu menjadi indikator akan tahap ilmu dan taqwa seseorang insan.

Seharusnya juga tidak timbul soal penyelewengan dalam pekerjaan, kerana etika kerja dan pelbagai latihan sudah diadakan untuk meningkatkan mutu pekerja.

Sijil yang beribu-ribu itu seharusnya dapat melahirkan manusia-manusia yang mampu memimpin kemajuan dan menegakkan kebenaran, seandainya ijazah itu selari dengan taqwa.

Sudah seharusnya kita merasa tenang dan aman, apabila ramai tenaga manusia yang disahkan layak memegang gelaran itu dan ini dan menggenggam ijazah itu dan ini, seandainya ijazah itu datang dalam pakej yang bernama taqwa.

Tetapi realiti menunjukkan sebaliknya.

Doktor. Engineer. Ustaz. Pharmacist. Cikgu. Lawyer. Arkitek.

Itu gelaran-gelaran di sisi manusia. Belum tentu bernilai di sisi Allah.

Muttaqin. Muhsinin. Mu’minin. Muqarrabin. Solihin. Mukhlasin.

Itu title-title yang lebih patut direbut di sisi Tuhan. Yang benar-benar membezakan manusia antara satu sama lain secara total.

Tetapi dunia tidak menyediakan sijil-sijil untuk itu. Hanya kitab Allah yang menyediakan indikator untuk membezakan ciri-ciri manusia tersebut.

Muhasabahkanlah apa tujuannya ilmu itu dituntut, dan kembalilah kepada falsafah yang menjadi asas satu-satu perkara itu diusahakan.

Dan percayalah dengan sesungguhnya bahawa modal insan yang punya akal, hati dan nafsu itu hanya mampu dikendalikan dengan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Inilah jalan menghasilkan manusia beriman dan negara yang aman, yang pastinya bukan ijazah itu yang menentukannya.

IJAZAH VS TAQWA

اْقْرأْ بِاْسْمِ رَبِّكَ اْلَّذِيْ خَلَقَ

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan”

(Al-‘Alaq:1)

Tujuan ilmu yang paling utama adalah untuk mengenal pencipta. Mengetahui dengan yakin akan hakikat penciptaan diri manusia, tujuan dia diciptakan dan apakah wasilah yang perlu ditempuh untuk mencapai tujuan tersebut.

Dengan yang demikian ilmu itu membawa seorang manusia untuk mengenali Tuhannya dan meyakini kewujudanNya serta berusaha menempuhi jalan yang memandunya kepada tujuan dia diciptakan.

Apabila seorang penuntut ilmu masih belum mencapai perkara-perkara di atas, maka dia sebenarnya masih belum memulakan pencarian ilmunya. Tahu yang banyak itu amatlah sedikit manfaatnya, seandainya pengetahuan yang yakin akan hakikat penciptaan dirinya itu sendiri masih belum terlaksana.

Seterusnya apabila pencari ilmu itu mencapai tahap iman yang bukan ikutan, barulah ilmu-ilmu yang diperolehinya dapat dimanfaatkan secara maksimum.

Tujuan menuntut ilmu yang seterusnya adalah untuk mengimarahkan bumi, kerana manusia sememangnya diciptakan sebagai khalifah di muka bumi. Ilmu-ilmu yang diperolehi itu akan mematuhi landasan agama, apabila pemilik ilmu itu beriman dan mengetahui hala tuju ilmunya itu dengan yakin. Golongan yang takut kepada Tuhan inilah yang diharapkan menjadikan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan yang tidak ada keraguan buatnya.

KEMBARA HIKMAH

Sejarah membuktikan bahawa Islam pernah menaungi dua pertiga dunia, dan hukum-hukum Allah dilaksanakan secara menyeluruh. Kemajuan dalam bidang ilmu didominasi oleh umat Islam, begitu juga dengan kemajuan dalam segenap penjuru kehidupan. Insan beriman ataupun tidak beriman merasa aman di bawah pemerintahan yang berlandaskan kepada kitab Allah dan disuluhi oleh sunnah Rasul-Nya.

Percayalah dengan sesungguhnya bahawa hanya Islam yang mampu memimpin kemajuan dan keamanan serentak.

Sejak dari itu musuh Allah tidur tidak nyenyak dan sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kegemilangan Islam ini. Tujuh abad lamanya mereka bekerja keras siang malam mencari jalan ke arah itu.

Dan akhirnya, kejayaan tiba buat yang berusaha.

Khilafah Islamiah hancur, dan ilmu-ilmu itu dipindahkan ke sebelah Barat. Kegiatan penterjemahan selama itu rupanya tidak sia-sia, dan kemudian orang Barat meneruskan kegemilangan ilmu dan kajian-kajian yang sebenarnya dimulakan oleh para ilmuan Islam.

Umat Islam menjadi seperti orang yang kehilangan barang berharga. Andai saja mereka menemuinya maka sememangnya merekalah yang lebih layak memungutnya.

Ilmu yang benar itu meliputi semua bidang dan tidak terhad kepada ilmu-ilmu dalam bidang tertentu sahaja. Bidang falsafah, bahasa, Sains, ekonomi, politik dan seluruh pengetahuan yang ada adalah bidang-bidang ilmu yang benar, seandainya ia dilorongkan dengan cetusan taqwa kepada pencipta.

Menjadi tanggungjawab kepada setiap individu beriman untuk menguasai pelbagai bidang ilmu dan menjadikan ia selari dengan tuntutan Al-Quran dan sunnah. Pernah saya menggelar proses itu sebagai Islamisasi ilmu”, yang sebenarnya tidak akan mampu diperolehi kalau bukan modal insan itu yang terlebih dahulu mencapai iman yang kukuh terhadap pemilik dan pencipta sekalian ilmu itu sendiri, iaitu Allah SWT.

Sebagai orang yang kehilangan barang, seharusnya kita terlebih dahulu mengenal pasti barang yang ingin dicari sebelum memulakan usaha pencarian. Terdapat penolakan pada sesetengah bidang ilmu oleh sesetengah pihak, sedangkan sifat ilmu yang sebenar-benarnya adalah seperti yang sedia dibincangkan di atas. Sememangnya terdapat bukti-bukti yang sahih tentang ‘penculikan’ ilmu-ilmu yang sudah dipelopori oleh ilmuan Islam di masa lampau ke dalam bahasa asing seperti yang kita dengari pada hari ini. Terdapat pelbagai bidang ilmu yang sebenarnya bermanfaat akhirnya telah diselewengkan oleh manusia-manusia tidak beriman, sedangkan masih ada ilmu yang benar yang masih ‘dipinjam’ oleh mereka.

Ilmu itu sendirinya tidak sesat, tetapi yang sesat lagi menyesatkan adalah mereka yang menuntut ilmu itu sendiri.

Terdapat sesetengah perkataan daripada ahli falsafah Barat yang sebenarnya adalah hasil terjemahan daripada karya ahli falsafah Islam di masa lampau. Maka perkataan-perkataan ini sebenarnya memiliki nilai kebenaran dan hikmah di dalamnya. Apabila umat Islam terkemudian mendengar ilmu-ilmu ini, terjadi penolakan secara total hanya dengan beralasankan bahawa mereka yang membawa ilmu itu tidak beriman dan juga ia disampaikan dalam bahasa asing, tanpa menyelidiki sejarah dan berusaha menyelami bidang ilmu itu sendiri.

Maka dengan itu hanya Al-Quran dan sunnah sahaja yang dapat mengesahkan kemurnian ilmu-ilmu ini kembali, sekaligus memungut ‘barang-barang’ yang sudah dikenalpasti itu.

Masanya untuk memungut barang-barang yang hilang itu semula!

REALITI VS FANTASI

“Dia bukanlah sebenar-benarnya anak jantan, jika dia selalu berkata: Ini ayahku.

Tetapi dialah sebenar-benarnya anak jantan jika dia berkata: Hah, inilah aku!”

Demikian maksud pepatah Arab.

Kegemilangan umat Islam di zaman lampau umpama sebuah memori, yang begitu indah untuk diceritakan dan diabadikan. Malangnya ia akan kekal sebagai memori semata-mata apabila tidak ada usaha yang realistik dilaksanakan untuk mencapai semula kegemilangan tersebut.

Realiti itu memang suka mencanggahi fantasi. Dan fantasi sememangnya bersifat terlalu jauh daripada realiti.

Kalau benar-benar serius hendak meneliti sistem pendidikan, apa yang perlu dilaburkan adalah terlalu banyak.

Masa.

Tenaga.

Buah fikiran.

Dan kajian-kajian yang serius serta mendalam.

Barangkali buat masa ini kita masih belum melihat dengan jelas di mana relevannya perkara ini. Tetapi pada masa-masa akan datang, apa yang diusahakan hari ini adalah sangat-sangat bermanfaat sebagai warisan untuk orang yang terkemudian.

Sudah sampai masanya buat mereka yang kehilangan barang itu tidur tidak nyenyak untuk mencapai tujuannya mengembalikan kegemilangan memori di zaman silam.

Sememangnya hanya Islam yang mampu memimpin perubahan.

Persoalan yang berbaki adalah sudikah umat Islam itu sendiri memimpin perubahan tersebut?

Tepuk dada, pujuklah iman!

*dengan tambahan gambar oleh inksensei

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s