Ini bukan artikel baru, tapi saya merasakan sesuatu yang sangat perlu dibaca di sini, terutamanya masyarakat kita yang sudah sekian lama telah meletakkan sesuatu itu bukan pada tempatnya…& natijahnya, pastinya balasannya tidak mungkin sesuatu yang sepatutnya di Hari Pengadilan kelak…kerana kita adalah apa yang kita lakukan semasa di dunia. Moga Allah memberi kita hidayahNya…Renungilah…

Gambar sekadar hiasan...

Dipetik dari http://keranacinta.wordpress.com/

Sheila Majid masuk Guinness World of Records kerana sepasang Kebaya.

Ramai insan yang dikelilingi kemewahan hidup namun hatinya bagaikan gersangnya padang pasir.  Kosong, hambar, tawar, panas dan pelbagai lagi keresahan yang mencengkam jiwa.  Wang berjuta, pakaian anggun ratusan dan ribuan ringgit, kereta mewah berderet,  isteri-isteri yang jelita, anak-anak yang ramai dan pelbagai lagi  tidak menjamin dapat  rasa bahagia dan tenang.  Justeru apakah nilai sebenar yang mampu menyejukkan hati dan menyamankan jiwa?

Nilai yang dapat mengisi jiwa manusia hakikatnya tidak terpahat pada kilauan berlian, kerlipan emas, kejelitaan wajah dan lain-lain.  Oleh itu dimanakah kita dapat mencarinya?  Apakah nilai yang membahagiakan itu sebenarnya tidak wujud atau ia sengaja disembunyikan kerana takutkan sesuatu?

Lantaran itu jangan lah kita tertipu ibarat seorang yang sedang kehausan dipadang pasir dengan kilauan fatarmorgana yang disangkakan air.

Fatamorgana itu dihidangkan kepada rakyat dengan semakin hebat oleh media massa hari ini.  Semakin mendekati kiamat, semakin galak media massa cetak, elektronik dan maya menonjolkan fatamorgana untuk menghilangkan ‘dahaga’ ruh masyarakat.   Nilai yang hakiki disembunyikan atau sekadar dijadikan kosmetik buat mengelabui mata rakyat.

Fatamorgana terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia  mengenai kebaya bertatah berlian dan permata yang bakal masuk senarai  Guinness World of Records. Ia diperagakan oleh penyanyi Datuk Sheila Majid.

Dalam laporan tersebut, Datuk Sheila Majid menyatakan perasaannya, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya”.

Sepatutnya kenyataan tersebut  mengungkapkan, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini kerana  terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat.  Meskipun ia mahal namun aurat saya jauh lebih berharga dari nilai baju jutaan ringgit itu.   Aurat saya adalah rahsia serta maruah saya sebagai wanita muslim.  Sekali-kali saya tidak akan tukarkannya dengan sedikit nilai duniawi yang tidak mendapat tempat di sisi Allah”.

Ungkapan  itu jika diluahkan dari hati berjiwa hamba kepada Allah akan memberi nilai yang tidak  dapat dibeli dengan wang berjuta sekalipun.  Inilah hati yang mewah dengan iman.  Inilah jiwa taqwa yang bernilai ekslusif di sisi Allah swt. Sepatutnya kenyataan seperti ini lah yang diucapkan apabila beliau menghubung kaitkan dengan nama Allah.

Apalah sangat kebaya jutaan ringgit jika disebalik kilauan permata dan berlian itu hanya terdapat murka Allah.  Kemurkaan itu bukan setakat fesyen pakaian yang mendedahkan aurat bahkan juga pada pembaziran yang dibuat semata-mata untuk sepasang baju!. Baju itu tetap juga namanya kebaya.   Apa guna jika nyawa terancam hanya untuk sepasang baju?   Kalau rasa nyawa tidak terancam kenapa harus ada polis mengawalnya..ini bermakna nyawanya senilai harga kebaya itu sahaja.

Jika ditanya siapa yang mahu bertemankan syaitan… saya percaya ramai yang tidak sanggup.  Tapi siapa yang mahu berdekat dan berbaik dengan Allah… pasti ramai yang mahu.  Namun sekadar berteori di lidah tidak bertulang, tiada maknanya.   Sedangkan perbuatan kita menurut apa yang syaitan suka.

Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai adik-beradik syaitan.  Wah… hebat… bukan setakat bersahabat, bahkan sudah ada ikatan silaturrahim secara rasmi sebagai adik – beradik.

Allah berkata dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27,

وَآتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلاَ تُبَذِّرْ تَبْذِير

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing serta janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Alangkah baiknya jika nilai jutaan ringgit itu dibelanjakan buat golongan fakir dan miskin yang masih ramai tidak memiliki kediaman.

Malaysia Boleh!

Semata-mata untuk menunjukkan Malaysia serba boleh, bukanlah dengan membelakangi tuntutan al-Quran dan as-sunnah.  Nilai apa yang ada pada Guinnes World of Records itu?  Rekod tersebut dicipta oleh siapa dan apa tujuannya yang sebenar?  Memburu yang tertinggi, terbesar, terbanyak, terpanjang dan segala macam ‘ter’ lagi di dunia ini sinonim dengan mencari ketinggian di mata manusia.  Sedangkan ganjaran syurga di akhirat itu disediakan untuk mereka yang tidak mencari kedudukan yang tinggi di dunia.  Sebaliknya berusaha menjadi hamba yang sentiasa merendah diri kepada Allah.  Hamba yang merendah diri kepada Tuhannya ialah yang mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Masih terdapat ruang untuk menjadi ‘ter’ di dunia ini iaitu mematuhi dan melaksanakan undang-undang Allah sepenuhnya di bumi Malaysia yang bertuah ini.  Dalam konteks dunia hiburan, laksanakan hiburan cara Islam.  Islam bererti selamat dan aman.  Jika cara lain yang kita cari dan usahakan, maka tunggulah hasil kerosakan yang disebarkan di dunia fana ini memberi natijah buruk di akhirat kelak.

Allah berkata di dalam surah Al-Qasas, ayat 83,

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Justeru itu fikir-fikirkan… kemewahan di dunia yang kita mahu atau kemewahan syurga di akhirat yang kita harapkan?

Ummu Abbas

Editor:  Al Ma’aarijj
26 Rabiul Thani 1431H/10 April 2010

**********************

Sheila Majid cipta sejarah peraga kebaya termahal dunia?

KUALA LUMPUR 10 April – Penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid malam ini melakar satu lagi sejarah dalam karier seninya apabila nama beliau mungkin dicatatkan di dalam Guinness World of Records tidak lama lagi.

Semuanya kerana kebaya yang dipakainya sewaktu membuat persembahan sempena Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini dikatakan berharga berjuta-juta ringgit.

Bagaimanapun harga sebenar kebaya tersebut hanya akan disahkan dan diumumkan oleh pihak berkenaan pada bulan depan.

Turut hadir menyaksikan malam gala yang turut meraikan ulang tahun kelima Cosry itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Pengasas dan Pengarah Urusan Cosry Wise Sdn. Bhd., Ariff Quasri Md. Nor.

Kebaya rekaan Putra Aziz daripada butik Cosry itu sememangnya begitu eksklusif kerana perinciannya bertatahkan ratusan permata dan berlian jenama Mouawad yang cukup terkenal di dunia.

Dengan harganya yang begitu tinggi, ia sekali gus berjaya diiktiraf sebagai kebaya paling mahal di dunia.

Kerana itu jugalah, kawasan sekitar KLCC juga dikawal ketat dan rapi oleh pihak polis sepanjang persembahan berlangsung.

Sewaktu ditemui selepas majlis berakhir, Sheila tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya apabila memakai kebaya tersebut.

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Putra pula untuk menyiapkan kebaya itu merupakan cabaran yang cukup mengujinya sebagai seorang pereka fesyen.

Apatah lagi apabila memikirkan perinciannya merupakan salah satu jenama termahal di dunia yang seringkali menjadi pilihan selebriti terkenal antarabangsa.

“Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan kebaya ini dan bayangkan, untuk menyiapkannya, setiap gerak-geri saya diperhatikan dan dikawal oleh polis.

“Tidak dapat saya menggambarkan betapa gementarnya saya tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya yang juga Pengarah Eksekutif Kreatif Cosry.

Kebaya itu akan dipamerkan di butik Mouawad yang terletak di Starhill Gallery, Jalan Bukit Bintang di sini dalam waktu terdekat ini.

Sumber:  Utusan Malaysia Online

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s