Berita yang dikirimkan dari sahabat-sahabat terutamanya yang berada di Sabah datang bertali arus; Ustaz Nahar telah meninggal dunia.

Ustaz Nahar yang saya kenali adalah seorang yang sangat berwibawa, prihatin, mesra & berani dalam perjuangannya menyebar & mendaulatkan Islam.  Secara peribadi, saya sangat mengagumi sikapnya yang sangat menghormati sahabat tidak kira latarbelakang ataupun umur. Sewaktu beliau sedang sibuk meguruskan jemaah yang ingin menunaikan umrah di airport KKIA tidak lama dulu, beliau masih meluangkan masa untuk mendengar & membantu dalam  permasalahan saya. Kali terakhir saya bercakap dengan beliau adalah di telefon kira-kira 2 bulan yang lalu, juga untuk membantu seorang sahabat.

Tulisan-tulisan berikut adalah dari blog Allahyarham di http://hjnahar.blogspot.com/ & blog sahabat http://abunuha.wordpress.com/

Buat sahabat-sahabat, sampaikanlah apa yang baik dari Ustaz Nahar. Moga beliau ditempatkan Allah di kalangan hamba-hambaNya yang terpilih di Jannah.

12 July 2010

AL-Fatehah..

Ustaz Hj Nahar mengalami sakit gestrik dan dibawa keluarganya ke hospital Likas selepas Isya’ semalam dan ditahan semalaman. Sekitar jam 9 pagi tadi, Ustaz dibenar keluar dan disahkan sihat. Bila di rumah, setelah berihat sebentar, dia mengadu sakit dada dan sesak nafas. Ustaz pun dibawa keluarga dibawa ke SMC..ustaz disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi tadi..

Sepanjang mengenali Hj Nahar khasnya ketika beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Negeri Sabah adalah suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Apa juga program ustaz, akan di bawa sama saya selaku pegawai media MNS masa itu..pernah seorang teman yang ustaz baru kenal, seorang pegawai perubatan yang baru ditempatkan bertugas di Hospital Queen Elizibeth, juga turut dibawa sama bagi menyertai program antaranya program Jejak Da’wah Pulau Banggi..begitulah bersunguhnya seorang yg diberi amanah dalam hal urusan da’wah…

Ustaz sentiasa memberi ruang dan bantuan kepada sesiapa juga dalam urusan program dakwah di Sabah selama ‘berkuasa’ di Masjid Negeri Sabah. Program pengimarahan Masjid Negeri Sabah di zamannya jelas menyerlah! Begitu ramai kenalan dan sahabat ustaz yang sempat berkerjasama dengan ustaz dalam banyak program , seminar, forum ,ceramah, kuliah dan pelbagai khidmat masyarakat lagi. Yang pastinya bumi Sabah telah kehilangan sebutir permata anak jati Sabah bagi menyemarakkan program da’wah yang sangat diperlukan oleh masyrakat Sabah. Kepada rakan taulan sahabat ustaz sekalian, ustaz berpesan teruskan usaha murni kalian. Hadapi setiap halangan, cemuhan, kejian dan pelbagai lagi sebagai dorongan kuat bagi menyebarluaskan kebenaran urusan Agama ini..

Sudah menjadi adat, setiap ‘kehilangan’ pasti meninggalkan kesan mendalam apatah lagi perginya seseorang spt ustaz Hj Nahar.

Selepas solat subuh di Masjid Jamek Kg Likas dan bersarapan di Likas Plaza bersama rakan-rakan yang berjaga malam, saya kembali ke masjid. Baru jam 6 pagi, ada sedikit masa untuk berehat. Fikiran masih berkecamuk setelah kehilangan Ustaz Nahar yang dikasihi.

Rehat dan lena tidak sampai sejam sedikit sebanyak terusik dengan kenangan lama. Lagi pun beberapa rakan membuat panggilan masuk dan sms ke telefon, bertanyakan urusan penyelenggaraan jenazah, bila mandi, bila solat, bila kebumi dan seumpamanya.

Hampir jam 8 pagi, kami yang hanya berada di luar rumah dimaklumkan jenazah ustaz sudah bersedia untuk disolatkan. Maklumlah keluarga dan sanak saudara beliau yang besar, ahli jamaah masjid serta rakan-rakan ramai dan sedia membantu urusan mandi dan kafan.

Solat janazah didirikan di Masjid Jamek Kg Likas yang terletak berhadapan dengan rumah ustaz dengan diimamkan oleh Imam Abd Ghani Hj Nawawi disertai kira-kira 500 jamaah. Sesudah solat pertama, muncul lagi kumpulan kedua yang terlewat sampai diimamkan oleh Ustaz Shahrul Nizam, rakan beliau yang sama-sama belajar di Jordan yang tiba dari Pahang malam tadi.

Sekitar 8.25 pagi, jenazah bersiap sedia untuk diusung ke Taman Perkuburan yang terletak tidak jauh, hanya berjalan kaki sekitar 5-10 minit. Saya melihat deretan orang ramai sama ada saudara mara, sahabat, guru-guru agama, para pendakwah terus berkunjung ke taman perkuburan, tidak sempat menyertai solat janazah dan terus ke majlis pengkebumian ustaz walaupun majlis hampir ke penghujung.

Kami jangkakan tidak kurang tiga ribu umat Islam yang mengikuti dan memberikan penghormatan terakhir buat ustaz yang dikasihi. Oleh kerana tempat persemadian ustaz berada di lereng anak bukit, masih ramai berdiri dan duduk jauh kerana keadaan tersebut tambahan keadaan tanah yang licin akibat hujan lebat semalam.

Imam Abd. Ghani dan Imam Wahid bersilih ganti memimpin talqin dan tahlil. Hati begitu sedih dan sebak sekali berpisah dengan ustaz. Saya melihat setiap sahabat-sahabat seusrah, rakan-rakan seperjuangan yang hadir semuanya sugul dan mengalirkan air mata.

Imam Wahid turut sebak saat memimpin tahlil. Teringat kebaikan ustaz yang suka membantu muallaf dan pekerjanya, santunnya kepada anak muda, kasih sayangnya kepada sahabat, pemurah kepada tetamu, juga hormatnya kepada pemimpin. Alhamdulillah, beliau pergi meninggalkan isteri yang baik dan anak yang soleh. Mudah-mudahan Nasyraf menjadi pemimpin dan pengganti yang baik dalam keluarga.

Semoga Ustaz Haji Nahar tenang dan bergembira menerima nikmat dari Allah SWT di alam barzakh. Marilah kita meneruskan perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh para pendakwah terdahulu termasuk oleh Ustaz Nahar. Beliau telah mendahului kita semua.

Ya Allah ampuni Ustaz Nahar, kasihani dia, afiatkan dia, maafkan dia, muliakan dia, luaskan tempat semadinya, sucikan dia dengan air, salju lagi sejuk dan nyaman. Gantikan dia dengan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sudah dialaminya di dunia. Jauhkan dia daripada azab kubur dan fitnahnya, juga daripada azab api neraka. Masukkan dia ke dalam syurga bersama orang-orang yang baik. Allahumma amin.

Malam tadi kami sahabat-sahabat akrab Allahyarham Ustaz Haji Nahar berziarah ke rumah beliau di Kg Likas. Saya sudah berpesan kepada sahabat-sahabat agar membawa sekali isteri masing-masing bagi mengucap tazkiah kepada Kak Shida.

Orang yang datang begitu ramai sekali. Bertali arus. Antaranya mantan mufti Datuk Haji Ismail Abbas bersama-sama jamaah Masjid Kg Likas yang baru menunaikan solat isyak. Datuk Sanin Pandin, mantan Ahli Suruhanjaya Cobbold juga kelihatan sama.

Sebelah siangnya, juga tidak kurang ramainya jamaah yang datang. Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) Datuk Haji Ismail Ag Besar, mantan Imam Besar Datuk Haji Mokhtar Rapok, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Sabah) Haji Khairan Untoh, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, mantan Pengerusi MUIS Datuk Haji Matusin Ag Damit, ADUN Pantai Manis Datuk Rahim Ismail, Ahli MPT PKR Haji Ansari Abdullah dan ramai lagi.

Hujan lebat beberapa jam petang itu di sekitar Kota Kinabalu telah menenggelamkan beberapa lokasi. Demikian kami dimaklumkan. Namun jenazah Ustaz Nahar tidak putus dikunjungi orang. Rakan-rakan sekerja dari JHEAINS, guru agama,  pengawai tinggi kerajaan, orang-orang politik hadir silih berganti. Asalnya kami dimaklumkan jenazah mahu diselenggarakan secepat mungkin, namun hujan lebat itu menjadi salah satu halangannya. Tambahan lagi pihak waris masih menanti beberapa ahli keluarga yang hanya tiba ke Kota Kinabalu lewat petang.

Hampir 10 malam, kami mula meminta diri untuk pulang. Saya bersalam erat dengan Nasyraf, 17 tahun, anak sulung Ustaz Nahar. Saya menyabarkan beliau dan mengatakan bahawa kini amanah ketua keluarga berada di pundaknya. Kami sebagai rakan-rakan seusrah babahnya bersedia membantu sekadar yang termampu.

Rupanya Kak Shida ada permintaan lanjut. “Bolehkah ahli usrah bermalam di sini malam ni?” “Ya”, jawab saya. Kami berunding dengan rakan-rakan akan datang semula pada tengah malam. Saya juga balik sebentar untuk menghantar isteri dan anak.

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

One response »

  1. ira^cairo says:

    Al-Faatihah ….
    Semoga dicucuri Rahmat oleh Allah dan ditempatkan dikalangan hamba2 yang Soleh ….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s