Kecewa ! Budaya Mungkar Terus disuburkan

Dipetik dari http://episodeperjuangan.blogspot.com/, http://www.harakahdaily.net/v2/ & http://www.youtube.com/user/malaysiakini

Konsert: Gamis bimbang masa depan rakyat

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyuarakan rasa penuh kebimbangan dengan masa Malaysia dan rakyatnya setelah diberi peluang menyaksikan sendiri konsert Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi. 

Seramai lima orang wakil Gamis yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Muhammad Zaki Sukery yang juga Presiden Ma’ruf Club UIAM diberi pas percuma oleh Puspal dalam respons kepada bantahan Gamis pada pertemuan empat mata sehari sebelumnya.

Mengambil masa lebih kurang sejam untuk merakam gambar dan video, beliau turut berkata masa depan remaja Malaysia yang dicanangkan sebagai pemimpin masa depan bakal berdepan konflik jika landskap masyarakat negara dibentuk oleh suasana semalam.

(Gambar: Aksi penari-penari Adam Lambert malam tadi.)

Sambil mempersoal kerajaan adakah ini salah satu formula yang sesuai bagi membendung peningkatan masalah sosial yang sedang berlaku di dalam negara, beliau turut menggesa semua pihak bagi menyelamatkan Malaysia daripada anasir luar yang seolah-olah mahu menjadikan negara ini sebagai the next Las Vegas.

Sambil menzahirkan rasa penuh kesal dengan penganjuran konsert berkenaan, ujarnya Gamis turut akan mempertimbang secara serius beberapa tindakan susulan selepas ini.

Antaranya, tambah beliau ialah Gamis akan mengumpul kesemua bukti bergambar dan bervideo dan akan melakukan kunjungan sekali lagi ke Puspal, Jakim, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Komunikasi serta berjumpa dengan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

“Hal ini bagi menyuarakan kebimbangan, memohon perhatian serius dan meminta penjelasan yang menyeluruh setelah menyaksikan sendiri apa yang berlaku malam tadi,” ujarnya.

Seramai 300 orang ahli Gamis dari seluruh negara mula berkumpul di Stadium Putra mulai jam 6 petang,

Mereka turut menunaikan solat hajat bersama-sama kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum bergerak ke tempat konsert bagi menyebarkan risalah dan berucap sebelum kelima-lima orang wakil tersebut dibenarkan masuk ke dewan konsert.

Peserta XPDC dakwah lepasi halangan FRU

Rusli Yasmin
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Peserta XPDC dakwah membantah konsert artis gay, Adam Lambert, malam tadi berjaya melepasi halangan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk berkumpul di hadapan perkarangan Stadium Putra Bukit Jalil.

Peserta berkumpul beramai-ramai sambil melaungkan “Tolak Adam Lambert” dan “tolak homoseksual” di samping mengedarkan risalah kesedaran yang mendedahkan kehidupan gay Adam Lambert.

Wakil mahasiswa, yang dihantar meninjau di dalam stadium melaporkan bahawa suasana sangat teruk sehingga ada yang pengsan kerana sesak nafas.

Peminat-peminat juga berkelakuan sangat teruk umpama diserang histeria.

Pakaian juga terlalu menjolok mata terutamanya penari-penari.

Nasrudin Hasan yang mengetuai peserta pada malam tadi berkata, konsert itu sangat bertentangan dengan nilai-nilai hidup Melayu dan Islam kerana umum mengetahui budaya gay yang dibawa oleh Adam Lambert.

“Selain mempromosi muzik, beliau turut mempromosi budaya gay, budaya yang bertentangan dengan gaya hidup oleh fitrah manusia.

“Kita tak mahu negara menghadapi kehancuran disebabkan konsert pada malam ini,” kata ketua DPPP itu.

Menurut beliau, DPPP tidak menolak hiburan tetapi biarlah hiburan itu membina dan tidak melalaikan.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang turut hadir mengecam kerajaan kerana memberi kebenaran konsert Adam Lambert diadakan di negara ini.

“Di parlimen kerajaan berbahas dan bercakap soal keruntuhan moral (tetapi) pada masa yang sama  memberi kebenaran kepada punca keruntuhan moral.

“Pemimpin negara mesti bertanggungjawab jika konsert malam ini mengahasilkan artis yang seperti ini (Adam Lambert),” tambahnya.

Peserta XPDC turut memijak dan mengoyak poster artis American Idol itu sebagai simbolik bantahan penganjuran konsert berkenaan.

Peserta mula beredar kira-kira jam 10.30 malam.

Sebelum itu, lebih 200 anggota Pemuda PAS dan mahasiswa menyertai ekspedisi dakwah membantah konsert penyanyi homoseksual Amerika itu.

Nasrudin Hassan mengetuai solat hajat selepas solat Maghrib.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada para peserta yang menyertai ekspedisi tersebut sebelum bergerak ke stadium kira-kira jam 7.30 malam.

1. Kecewa ! Itulah yang boleh dilafazkan terhadap sikap tidak “tidak peduli” oleh pihak kerajaan yang masih mengizinkan konsert hiburan liar dianjurkan dalam negara ini. Terbaru , Adam Lambert dijangka akan “membinasa“kan akhlak masyarakat kita khasnya anak – anak muda di Stadium Bukit Jalil pada 14 Oktober kelak .

2. Semua orang kenal dan tahu bagaimana aksi dan sikap Adam Lambert di pentas . Seorang yang konsisten mempamerkan aksi liar , lucah dan melampau sehingga beliau turut ditolak oleh masyarakat barat .

3. Rancangan teleyisyen barat seperti Good Morning America pernah membatalkan rancangan Adam Lambert kerana membantah persembahan beliau yang dianggap sangat keterlaluan . Sementelah Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseks tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya.
4.Persoalannya , kenapa kerajaan yang baru sahaja bercadang mahu mengajar Amerika mengenai Islam agar masyarakat Amerika tidak lagi mengidap penyakit Islamophobia tiba – tiba boleh menerima konsert liar seperti ini ? atau kerajaan kita sendiri sebetulnya sedang mengidap penyakit yang sama ? [ Islamophobia ]
5. Saya difahamkan pada hari yang sama [ 14 Oktober ] satu lagi konsert hiburan yang menampilkan artis baru dunia iaitu Maher Zain yang akan mengadakan persembahannya di Dewan MBSA . Malangnya artis yang membawa mesej yang mulia dan mendidik jiwa tidak pula dihighlight oleh pihak kerajaan .
6. Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekaligus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah . Tidak cukup lagikah kerosakan dan kebinasaan sosial hari ini sehingga ia mahu ditambah lagi ?
7. Sudahlah baru – baru kita dikejutkan dengan kempen atau seruan “berzina tanpa mengandung” yang dipromosikan sebagai mengamalkan seks sihat tanpa perlu panik menanggung beban hamil yang akhirnya berkesudahan dengan jenayah buang bayi . Logiknya kempen itu kelihatan mampu membendung jenayah buang bayi tetapi masih mengekalkan jenayah zina yang dicela oleh agama dan masyarakat yang bertamaddun . Justeru seks bebas hanya menyamatarafkan manusia dengan binatang yang juga tidak mengerti soal ijab dan qabul dalam kehidupan mereka .
8. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar kerajaan dengarlah rayuan kami agar  segera membatalkan konsert seperti ini . Kami bukanlah anti hiburan dan penganjuran konsert para artis tetapi biarlah hiburan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam dan juga norma – norma mulia orang timur .
9. Bagi pihak kami dan seluruh ummat Islam yang prihatin , insyaallah kami akan cubaya sedaya mungkin untuk mendesak dan memujuk kerajaan agar membatalkan konsert liar ini dan merencana kegiatan untuk mendidik masyarakat khasnya anak – anak muda agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya kuning yang cuba diterap masuk dalam negara kita secara halus guna merosakkan akhlak dan jati diri generasi kita hari ini .
10. Anak – anak muda tidak perlu gusar untuk berhibur tanpa Adam Lambert ke negara kita kerana kita mempunyai banyak pilihan dan alternatif untuk berhibur termasuklah konsert Maher Zain yang boleh dimanafaatkan untuk berhibur dalam batas yang tidak keterlaluan . Selamatkan Negara .

Bantah konsert Adam Lambert

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS yakin rakyat sedia membantah rancangan terbaru kerajaan mengizinkan Konsert Adam Lambert yang dijadualkan pada 14 Oktober ini. 

Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata demikian kerana rakyat umumnya masih mempertahankan dunia hiburan yang baik, iaitu berpaksi pada adat ketimuran dan agama.

“Saya yakin rakyat sependapat dengan PAS iaitu hiburan adalah tuntutan naluri manusia dengan ada tatasusila ketimurannya dan tidak menyimpang dari norma-norma agama di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, kalau budaya cium pemain keyboard lelaki, beraksi lucah antara penari lelaki yang lain yang digayakan oleh penyanyi gay itu yang mahu dibawa ke negara ini diyakini rakyat menolaknya.

Menurut beliau, sepatutnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Artis Luar Negara (Puspal) tidak semberono bersetuju membawa artis gay tersebut ke tanah air.

Ini kerana, katanya artis tersebut sebenarnya dikecam hebat oleh dunia apabila melakukan beberapa adegan kontroversi di pentas Anugerah Award Amerika sebelum ini.

Ekoran itu, beliau berkata, rancangan televisyen Good Morning America terbitan ABC di Amerika Syarikat membatalkan penampilan Adam di udara kerana menolak budaya liar penyanyi gay itu.

“Gaya hidup Amerika yang selalu kita anggap bebas pun menolak semua ini, mengapa kita (kerajaan) yang selalu mengaku kitalah Islam tidak belajar semua ini,” soalnya.

Baginya, kerajaan sepatutnya mengambil berat soal menjempu selebriti asing memandangkan KPKK serta Puspal Mei lalu telahpun ditegur apabila membenarkan penyanyi lucah Pitbull mengadakan persembahan di negara ini.

“Kerajaan seakan tidak kisah semua ini kerana selepas Konsert Pitbull dibantah 15 Mei lalu pun, kerajaan nampaknya masih memberi kelulusan pada syarikat yang sama untuk menjemput Adam Lambert,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengajak rakyat khususnya penggiat seni dan penghibur tanah air supaya membantu PAS untuk mempertahankan jati diri dunia hiburan tempatan daripada terus  tercemar oleh anasir-anasir luar.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s