Dipetik dari http://idhamlim.blogspot.com/

Keluarga Baharuddin Terus Gesa Prosiding Khas Siasat Kematian Allahyarham

16 Syaaban 1432H. [MOD] –
KUALA LUMPUR 18 JULAI : Keluarga dan pimpinan Pakatan Rakyat terus mendesak agar satu prosiding khas atau siasatan dilakukan kerajaan berhubung kematian peserta Bersih 2.0, Baharuddin Ahmad dilakukan dengan segera.
Peguam keluarga Baharuddin, Ahmad Jufliz Faiza menyatakan satu laporan Polis telah dibuat oleh keluarga mangsa semalam bagi mendesak kenyataan mengenai kematian Allahyarham tidak dimainkan oleh pihak tertentu tanpa kebenaran dan pengetahuan keluarga.
“Kami memohon dan berharap agar saksi-saksi yang berada dan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada hari itu sehingga menyebabkan kematian beliau tampil menolong kami.
“Kami telah membuat laporan polis semalam dan memohon agar satu prosiding khas bagi satu siasatan mengenai kematian beliau dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh laporan dibuat,” terang Jufliz dalam sidang media di sini hari ini.
Baharudin meninggal selepas pengsan di perkarangan KLCC. Mengikut laporan awalnya, Baharudin sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan ke arah orang ramai yang menyertai perhimpunan itu.
Namun, cerita lain mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani post mortem.
Sehingga kini, laporan post mortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tanda tanya kepada keluarga kerana laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.
Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya
Polis telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.
Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, namun masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal.
“Kami amat hairan kami tidak dibekalkan laporan rasmi awal post mortem tersebut tetapi pihak lain boleh membuat beberapa kenyataan rasmi terhadap kematian beliau tanpa persetujuan rasmi kami,” kata beliau lagi.
Lebih malang lagi, beliau yang turut ditemani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Dr Tan Seng Giaw dan Pengerusi Biro Displin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong menyatakan, sehingga kini pimpinan kerajaan Umno-BN dan polis seolah-olah langsung tiada sensitiviti terhadap kematian Baharuddin.
“Amat menyedihkan sehingga hari ini, tidak ada sepatah pun perkataan takziah kami terima dari pihak polis mahupun kerajaan. Ini menunjukkan tiada langsung sensitiviti mereka ke atas kematian arwah Baharuddin Ahmad. Sebaliknya kami terharu, hampir semua pemimpin Bersih, NGO dan pemimpin PR telah meluangkan masa walaupun dengan jadual ketat telah datang ke rumah kami mengucapkan takziah,” kata beliau.
tv selangor/-

Dipetik dari http://bm.harakahdaily.net/

Azhar tuntut keadilan kematian Baharuddin

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 14 Julai:Anak saudara Allahyarham Baharuddin Ahmad, Azhar Kassim, hari ini tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, untuk menuntut keadilan di atas kematian bapa saudaranya.Beliau tampil bersama Jawatankuasa Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa saksi tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah polis lain ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.Ketika membuat pengaduannya, Azhar berkata, kematian Allahyarham amat mengejutkan beliau dan seluruh keluarganya kerana Allahyarham tidak mengalami masalah kronik.”Dia sihat. Dia tak menghidapi masalah jantung. Dia tak ada penyakit lelah. Dia hanya ada sedikit penyakit darah tinggi tetapi tak kronik. Kematiannya berlaku dengan tiba-tiba. Jadi kematiannya amat memeranjatkan saya dan seluruh keluarganya.

“Allahyarham adalah bekas tentera dan kini menjadi polis simpanan. Beliau bukan orang kaya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil dan masih bersekolah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kepada pihak Suhakam untuk menuntut keadilan dari pihak kerajaan berhubung kematian bapa saudaranya itu.

Allahyarham Baharuddin Ahmad didakwa meninggal dunia disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya kepada beliau.

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi 10 Julai lalu selepas menjalani post mortem.

“Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah,” kata Azhar kepada pihak Suhakam yang diwakili oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sa’ani Abdullah.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya 11 Julai lalu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0.

“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk,” tegas kenyataan itu.

Sementara empat peserta perhimpunan aman itu yang turut membuat pengaduannya masing-masing menceritakan pengalaman traumatik mereka apabila diperlakukan oleh pihak polis dengan tidak sepertinya.

Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya, sewaktu beliau sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.

Menurutnya, kemudian dia ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya sedang berdiri di atas jalan.

“Saya meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun. Anggota FRU menyerbu ke arah saya, manakala sepupu saya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap,” katanya.

Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap dan mencederakan di bahagian atas dahinya dan di bahagian bawah tangannya.

Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak, Hii Tiong Huat yang ditahan sehari sebelum perhimpunan aman itu turut menceritakan tindakan yang tidak sepatutnya yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau, apabila beliau ditendang dan ditumbuk sesuka hati oleh pihak polis.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut hadir di pejabat Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum bagi pihak mangsa-mangsa kekerasan polis pada perhimpunan itu, ketika membacanya pengaduannya antara lain turut menyebut kenyataan awal Bersih 2.0 berhubung kes yang membabitkan Allahyarham Baharuddin.

Manakala antara bukti-bukti kes lain pula yang turut disebut oleh beliau termasuk kejadian cederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada hari perhimpunan itu akibat tindakan kekerasan polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya.

Sejurus selepas itu, Mohamad Sabu turut hadir di pejabat Suhakam dengan berkerusi roda yang terpaksa ditolak oleh pembantunya untuk menceritakan sebahagian pengalaman buruknya pada perhimpunan itu kepada pihak Suhakam.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s