Dipetik dari http://bm.harakahdaily.net/

Ramai yang berbeza pendapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak tentang isu Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU), namun ia tidak sepatutnya menidakkan kehebatan MB Kedah ini.

Berikut adalah catatan seorang wartawan Harakah, AZAMIN AMIN tentang Azizan Razak sebagaimana yang beliau kenali. Tulisan ini sudah lama tetapi masih relevan untuk memahami isu di Kedah.

KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

CUKUP BERANG

“Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit,” kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini, beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan ‘tahan’ berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.
Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

SERI MENTALOON

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba ‘menggoreng’ fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

“Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato’ Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

“Kamu ni mandi tak pagi tadi?” tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab ‘ya’ oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

“Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan,” katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!
Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

Isu: Bacaan Tambahan;

Serang Azizan Razak tidak bijak

 

http://msomelayu.blogspot.com/, 26 Jan 2012

 

Saya tidak mengikuti isu membabitkan MB Kedah Azizan Razak yang dikatakan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah kesekian lama diperjuang untuk dihapuskan. Saya tidak tahu apakah ‘konsekuens’ isu itu di sebaliknya. Sebesar manakah atau sejauh manakah Azizan telah menyokong akta yang kini dibenci kerana dikatakan telah menyekang mahasiswa itu.

Khabarnya sampai ada protes besar-besaran dalam media massa, menerusi blog, muka buku dan sebagainya.

Ada sebab kenapa saya tidak mengikuti atau mempedulikan isu berkenaan. Kerana isu itu berlegar dalam lingkungan sesama sendiri, maka tidak wajar saya kira ia diperbesarkan. Isu itu seharusnya diselesaikan secara baik dengan diam tanpa gemercingan ke luar.

Dalam saat pilihan raya menjelma sepatutnya semua pihak mengelakkan dari bertembung sesama sendiri dan bersikap mendiamkan apa-apa yang masing-masing tidak berkenaan di antara satu sama lain. Jangan membuka banyak lubang intip untuk mengintip musuh nanti musuh akan mencuri peluang menerobos melalui lubang itu. Pembangkitan isu berkenaan boleh diibaratkan sebagai membuka lubang untuk musuh.

Mulut sesama sendiri perlu diam saat hendak melakukan serangan ke atas musuh. Kalau saat hendak ambush musuh tetapi sesama sendiri masih bercakap dan bercakaran bukan saja musuh terlepas tetapi diri sendiri akan menjadi mangsa kelak.

Apakah motif atau isu sebenarnya di sebalik serangan ke ataz Azizan Razak saya tidak tahu. Hanya hari ini apabila saya membaca laporan di sebuah portal melaporkan Abdul Aziz Bari juga mengecam Azizan Razak sampai minta Azizan Razak menyertai BN kalau hendak sokong AUKU baru saya tahu mengenai isu berkenaan. Kenyataan atau protes Aziz Bari itu saya kira agak keras dan menjadikan saya bingkas untuk mengulas.

Serangan kepada MB Kedah itu puncanya kerana Azizan menyokong tindakan Kolej Insiniah Kedah (KUIN) menggantung lima orang pelajarnya yang terlibat dalam tunjuk perasaan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Jadi mereka yang mahukan AUKU dihapuskan marah kepada sokongan Azizan itu, menterjemahkan Azizan tidak bersama mereka.

Sokongan itu diheret kepada soal ikrar dalam Buku Jingga. Kononnya dengan pendirian Azizan itu beliau telah bersikap menyanggah kandungan Buku Jingga. Tidak dinafikan dalam Buku Jingga ada dinyatakan untuk menghapuskan AUKU. Pernyataan dan janji di dalam Buku Jingga itu sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat dan sudah diterima sebahagian besar rakyat.

Memanglah dari segi prinsipnya tindakan Azizan itu bertentangan dengan aspirasi Buku Jingga. Tetapi adalah melampau kalau beliau diserang dengan berbagai cemuhan, apa lagi serangan itu sama jenis serangan ke atas Najib Razak, Sharizat Abdul Jalil atau Rosmah Mansor. Bagi saya kenyataan Abdul Aziz Bari seperti dipetik itu saya lihat tidak cermat dan agar boros. Kalaupun beliau anti kepada AUKU tetapi Aziz tidak sepatutnya begitu lancang menyerang Azizan.

Beliau kena ingat dan faham sebusuk dan seburuk mana Azizan dia masih bersama Pakatan Rakyat dan MB kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Saya kira mereka yang menyerang Azizan Razak sudah melupai adat dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terlampau geramkan UBN. Tidak boleh juga bila kita tidak senang dengan stail dan sikap seseorang kita terus menyerang mereka bila timbul saja isu yang dibangkitkan sedangkan ia boleh dibahas atau diselesaikan secara baik.

Kalau semua faham tindakan (kenyataan sokongan) Azizan itu sebenarnya ia tidak ke mana dan mudah gelabah. Ia tidak sedikitpun pun menghalangkan cita-cita untuk menghapuskan AUKU. KUIN adalah sebahagian daripada ratusan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) yang masih mengguna pakai akta berkenaan atau tertakluk dengan akta najis itu. Bukan KUIN sahaja yang mempraktikannya, tetapi pusat-pusat pengajian lain juga berbuat demikian.

Saya percaya Azizan juga tidak bersetuju dengan akta yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara itu. Apa lagi Azizan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (oposisi) yang sangat memerlukan kepada kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa untuk mendokong Pakatan Rakyat. Kenapa beliau menyokong tindakan itu, perlu di lihat dari sudut lain yang lebih profesional dan akademik serta politik, bukan secara harfiah. Inilah kita kadang kala kerana terlalu emosi sangat tidak dapat menyelami erti di sebalik makna. Tidak dapat menyelami erti lain daripada apa yang kita difahamkan. Ada kalanya kita terbawa-bawa dengan rasa dendam kepada seseorang itu ke mana saja.

Apa yang perlu difahamkan, KUIN tidak boleh bertindak di luar mana-mana akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia terikat dengan syarat-syarat dan undang-undang tubuhnya. Walaupun KUIN itu dibawah kerajaan negeri yang prinsip politiknya tidak suka kepada akta itu, ia tidak boleh tidak dari memperakui akta berkenaan dan tidak boleh mengabaikannya. Mana-mana ada mahasiswa yang bersalah dan perlu dihukum maka akta itu masih relevan dan digunakan.

Kalau KUIN tidak menggunapakai akta itu pasti ia bertentangan dengan akta penubuhannya yang mana kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menghendaki menggunapakai akta berkenaan. Semua kena akui bahawa AUKU walaupun dalam proses penghapusan masa kini, tetapi ia masih belum dihapuskan, jadi ia masih valid untuk KUIN juga.

Contohnya begini, kita tidak suka dengan tol yang dikenakan oleh pihak menguruskan lebuh raya sekarang ini kerana ia membebankan. Malahan kita berjanji untuk menghapuskannya kalau kita memerintah. Tetapi selagi kita belum memerintah, lebuh raya itu tetap terikat dengan perjanjian kerajaan, kita wajib membayarnya. Tidak membayar bermakna kita melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

Jadi bila Azizan Razak menyokong tindakan KUIN itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan akta itu. Begitu juga bila kita membayar tol bukan bermakna kita bersetuju dan redha dengan pengenaan tol itu. Beliau menyokong sebagai menghormati keputusan institusi berkenaan yang bertindak menggunakan undang-undang yang masih berlaku (valid). Manakala kita membayar tol dalam paksa itu juga kerana menghormati syarat-syarat yang dikenakan kepada kita. Kedudukannya sama bukan?

Kaedah atau hal-hal seperti ini perlu difahami secara mendalam. Baik mahasiswa, pemimpin pelajar dan ahli politik perlu fahami mengenai perkara ini dan kedudukan sebenarnya. Apa guna kita menyerang sesama sendiri, kalau tindakan itu akan dilihat sebagai kita berpecah belah sesama kita, tiada ada guna langsung.

Kepada saya, (maaflah) mereka yang mempertikaikan tindakan Azizan, membesar-besarkannya apa lagi menyerang termasuk sampai mengungkit perangai dan peribadinya tidak bijak dan bukan orang yang memakai minda politik sepanjang masa. Mereka tidak ada sikap tasamuh di dalam politik. Mereka hanya berfikir dengan apa yang ada di hadapan mereka saja dan tidak melihat kebenaran-kebenaran lain yang berlegar di sekeliling mereka. Maaflah…

Nasib baik dalam kes ini para pemimpin tertinggi nampaknya faham dan tidak terikut dengan nafsu amarah yang mentah itu.

Perhatikan apakah kenyataan sokongan Azizan kepada tindakan KUIN itu adakah dibangkit oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat? Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Rasanya tidak ada. Ini menunjukkan para pemimpin lebih bersikap profesional dan tahu waktu mana hendak bergaduh dan waktu mana untuk tutup mulut. Bermain politik ibarat kita berlakibini kita kena tahu waktu mana hendak bergaduh masa mana hendak bertengkar fasal nasi hangit. Kalau waktu senja kita bergaduh ertinya sepanjang malam kita akan kerugian…

Justeru mahasiswa, bloger yang anti AUKU dan sebagainya silalah tututp mulut anda. Hasrat dan matlamat untuk hapuskan AUKU itu tidak akan terhenti dengan hanya Azizan Razak membuat kenyataan menyokong tindakan KUIN itu. Malahan cara anda menyerang Azizan itu ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan tumpuan untuk menghapuskan AUKU yang telah dimeteraikan dalam Buku Jingga itu.

Kalau anda bijaksana anda tidak ungkitkan secara terbuka kenyataan Azizan Razak itu dan menerima tindakan KUIN itu. Anda patut berjumpa dan berbincang dengan Azizan. Dalam pertemuan itu anda secara senyap mengemukakan memorandum agar Azizan campur tangan melepaskan pelajar berkenaan. Cara ini paling fatanah dan menggambarkan anda – orang-orang yang mengkritik secara terbuka adalah orang yang bijaksana dan berfikiran tenang. Saya rasa Azizan juga akan bersetuju dengan permintaan anda secara diplomasi itu.

Bijaksanalah di dalam melayani isu-isu politik dan pilihlah subjek-subjek untuk diperkatakan, jangan pakai ‘rawal’ semua sekali. Politik perlu bijaksana yang bijaksana. Dan Abdul Aziz Bari yang baru melangkah kaki secara rasmi dalam lautan politik itu juga saya rasa sudah mula menunjukkan sikap tidak bijaksananya. Aziz sepatutnya tidak serang Azizan seperti itu yang mana boleh melukai hati penyokong MB Kedah itu, tetapi yang afdal memberi penjelasan kenapa Azizan membuat kenyataan sokongan itu. Mendamaikan dan bukan menghuruharakan lagi minda itulah politik harmonis.

About inksensei

STAY ALiVE 2:154 is the official inksensei's blog & project.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s