Dipetik dari http://www.youtube.com/user/tvpas09  , http://www.youtube.com/user/myKelantanTV, www.youtube.com/user/iarnewsfb, &  http://bm.harakahdaily.net/

PTPTN: Pemimpin BN hilang kreativiti

Harakahdaily, 09 Apr 2012

KUALA LUMPUR, 9 April: Penegasan Perdana  Menteri  untuk tidak menghapuskan pinjaman PTPTN seperti diumumkan di Batu Pahat Sabtu lalu menunjukkan kepupusan daya kreativiti pemimpin Barisan Nasional (BN).

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Menurut Husam, jumlah RM43 bilion yang disebut oleh Perdana Menteri juga adalah tidak benar dan mengelirukan.

Ini kerana, dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang,  jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja.

“Bukan RM 43 bilion  seperti disebut,” kata Husam yang juga Exco Ekonomi dan Kebajikan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau mempertikaikan, mengapa PM sanggup memberikan angka yang silap?

“Adakah sengaja untuk mengeliru dan menakutkan rakyat jelata?” soal beliau.
Husam juga menjelaskan, jumlah keseluruhan RM28 bilon sehingga akhir 2012 tidak semestinya dilunaskan serta merta keseluruhannya sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa.

Antara tindakan yang boleh diambil, kata Husam  ialah mengambil alih pinjaman PTPTN atau memberikan jaminan pembiayaan tahunan sama jumlah dengan tanggungan PTPN kepada institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada PTPTN.

Dengan itu, katanya, kos tahunan kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan kerajaan pusat sebagaimana PTPTN mempunyai jadual  pembayaran tahunan yang tertentu.

Bagi beliau, gambaran bahawa negara tidak mampu kerana menjelaskan RM43 bilion sekaligus adalah amat mengelirukan dan menunjukkan PM tidak memahami mekanisma kewangan yang lazim diamalkan termasuk memberi undertaking dan menjadual semula pinjaman.

Hapus PTPTN, Pendidikan Percuma: Rasional atau Tidak?

Nasrudin Hassan, 06 Apr 2012
Isu penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta.Tan Sri Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion. YAB Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan beliau melangsaikannya.Berbangkitnya  isu PTPTN oleh anak – anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela melebihi bank dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke mana-mana hatta ke luar negara sekali pun.
Along Negara
Malangnya kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011 pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia.Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.

Along berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat keselesaan hidup anak muda yang terlibat.  PTPTN asalnya bukan wajib dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA.

Namun wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai  1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang berumur 20 hingga 35 tahun.

Tapi  lihatlah apa musibah PTPTN ke atas mereka :

a]  Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

b] Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9% disaman)

c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang sepatutnya diperolehi,  maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman.

Kurangkan beban rakyat

Justeru telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur.

Maka saya melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil, amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan yang disebut sebagai Good Governence.

Kerajaan selayaknya menjadi Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni.

Sebelum ini, sejarah  Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh mudah ialah :

a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba – tiba mengalami kerugian berskala besar pula ?

b] Syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia. Dilapor oleh The Singapore Straits Times  bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

c] Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)

d] Pembelian saham Technology  Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta

e]  Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom
f]  Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS

g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang

h]  Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion

i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta

j] Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation

k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.

l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.

Melalui pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada perkara ini ]

a] Projek Menara 100 tingkat

b] kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.

c] PERMATA [Rosmah]  projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.

Realitinya, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.

Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28 bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan rakyat.

Bagaimana PTPTN boleh mansuh

Sebenarnya tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok gadai.

Jika Pakatan Rakyat benar – benar mampu mengawal pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi yang paling minima dan tidak membebankan,  malah boleh sampai ke peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat.

Apabila ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu masuk PTPTN.

Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi, suatu Sorotan

Kelihatan retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu diberikan kepada rakyat.
Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.

Belum ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat dihasilkan.

Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan hutang keliling pinggang.  Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk tembolok sendiri.

Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :

Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka

Selepas yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah gulung tikarnya.

Contoh pengiraan  [Universiti Malaya]

a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.

b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.

c] Jumlah IPTA terkini 20 buah :

1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur,

2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,

3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor,

4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang,

5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor,

6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang,

7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL,

8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah,

9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak,

10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah,

11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak,
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9,

13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor,

14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu,

15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor,

16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka,

17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis,

18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu,

19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan,

20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL

d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta  [RM 1.2 bilion]

Jumlah ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas diurus secara telus.

Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan melandasi WahyuNya.

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al A’araaf : 96
——————————
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PTPTN: Universiti rumah kedai dari ahli politik dungu

Dr Rosli Khan, 18 Apr 2012

Pendidikan ialah subjek yang sentiasa dekat dengan kerajaan. Dekat, dalam lingkungan dasar, belanjawan, infrastruktur, latihan, kawalan dan pengurusan.

Dalam erti kata lain, kerajaan sentiasa berperanan besar dalam bidang pendidikan; cara anak-anak kita dididik, di mana, mengapa, bila, bagaimana dan oleh siapa mereka dididik amat bergantung kepada kerajaan dan dasar pendidikannya.

Keseriusan sesebuah kerajaan, dedikasi dan keikhlasanya dapat dilihat dalam guru-guru dan pelajar-pelajar yang dihasilkan sistem pelajaran itu.

Maka, ia adalah selamat untuk dinyatakan bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu sistem pendidikan amat bergantung pada kerajaan yang ada hari ini.

Melihat kepada Malaysia hari ini, ia adalah amat jelas bahawa sistem pendidikan kebangsaan telah gagal dengan teruk, untuk terlalu lama dan tidak dibetulkan walaupun pelbagai aduan dibangkitkan.

Ramai ibubapa yang anak mereka di sekolah akan bersetuju dengan kenyataan berbentuk kritikan keras ini.

Ia telah gagal kerana rasuah dan sebahagiannya disebabkan oleh kombinasi pelbagai faktor lain yang menjadi komponen pendidikan.

Wabak rasuah di dalam kerajaan Malaysia adalah tidak terkecuali dalam Kementerian Pendidikan. Saban tahun, pendidikan mendapat keutamaan tinggi dalam peruntukan belanjawan.

Peruntukan untuk pembangunan seperti membina sekolah baru, menyediakan kemudahan seperti komputer dan makmal sains, bekalan komputer, buku teks, alatan pengajaran, bantuan pengajaran, latihan dan sebagainya adalah amat besar.

Namun begitu, terdapat lagi sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang cukup mengerikan, kedua-duanya daripada segi infrastruktur bangunan dan kemudahan.

Sistem pendidikan negara turut berada dalam keadaan menghibakan. Piawaian yang ditetapkan terlalu rendah sehingga ramai kanak-kanak masih tidak boleh membaca dan menulis walaupun beberapa tahun di sekolah rendah. Peringkat menengah juga sama.

Amalan spoon-feeding (menyuap) dan ujian berbentuk penghafalan adalah rungutan besar daripada golongan ibubapa. Sistem yang ada tidak menggalakkan kelahiran pemikir. Dan lebih menyayatkan, para guru yang ada tidak berdedikasi dan dilatih secara lemah.

Malaysia mungkin ialah satu-satunya negara membangun yang mana bidang perguruan dilihat sebagai pilihan pekerjaan terakhir oleh ramai pemuda.

Mereka terlibat dalam perguruan bukan kerana mereka ingin mengajar. Tapi kerana keputusan sekolah mereka lemah sehingga mereka tidak dapat dilatih menjadi jurutera, doktor, akauntan, peguam dan lain-lain.

Ringkasnya, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menjadi guru. Maka, ramai antara mereka yang memasuki kolej perguruan dalam keadaan terpaksa.

Apabila kembali ke sekolah, mereka akhirnya menjadi guru yang tidak berdedikasi dan tidak komited kepada bidang perguruan.

Berdasarkan latar belakang ini dan kombinasi kokurikulum dan cara pengajaran yang lemah, bolehkah kita mengharapkan anak-anak kita untuk cemerlang di sekolah tanahair? Inilah keadaan dan suasana pembelajaran umum yang diwujudkan oleh kerajaan hari ini.

Bukan itu sahaja, para ahli politik daripada kerajaan, setelah merompak peruntukan yang dikhaskan kepada pembangunan sekolah, juga adalah manusia yang menentukan samada bahasa Inggeris perlu apa-apa peranan sama dalam sistem pendidikan yang lemah ini.

Dasar yang flip-flop (berubah-ubah) ini sudah tentu mengurangkan motivasi semua pihak yang terlibat dalam pendidikan; ibubapa, guru dan juga pelajar.

Selain sekolah menengah, kerajaan juga sepatutnya menyediakan kolej dan universiti untuk pendidikan tinggi.

Pada amnya, Malaysia terselamat dengan lima universiti untuk jangka masa yang panjang. Namun, dengan pertambahan populasi penduduk, sepatutnya lebih banyak universiti sepatutnya diwujudkan. Ini adalah pemulaan kepada satu masalah besar yang baru, iaitu PTPTN.

Universiti rumah kedai

Pada masa di mana sepatutnya lebih banyak universiti dan sumber perlu ditambah dan dilakukan, agenda penswastaan pula tinggi.

Sebilangan ahli politik dungu atau ahli keluarga mereka mencadangkan agar pihak swasta perlu diberi peranan dalam pendidikan.

Tidak lama selepas itu, kolej dan universiti swasta tumbuh bagai cendawan di kedai-kedai bertingkat. Tapi mereka masih menggelar mereka sebagai universiti dan tempat untuk mencapai kecemerlangan.

Tapi di sebalik pembaharuan dan liberalisasi dasar pendidikan ini sebenarnya ialah dana kerajaan, yang semua pihak swasta ini menjadikannya sebagai sasaran untuk dirompak.

Sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak universiti awam, wang awam telah diletakkan disatu agensi, PTPTN, yang berpura-pura untuk membiayai pendidikan pelajar tetapi sebenarnya berakhir di tabung kolej dan universiti swasta melalui yuran pengajian.

Ini adalah bijak, untuk kepentigan sebilangan orang. Tapi majoriti pelajar pula berakhir dengan hutang berserta faedah. Selain hutang, sijil, diploma atau ijazah mereka pula tidak berkualiti.

Kolej dan universiti swasta wujud bukan untuk kualiti dan kecemerlangan pendidikan tinggi, lebih-lebih lagi untuk kepentingan negara.

Mereka terlibat dalam bidang pendidikan hanya untuk pendapatan dan keuntungan. Konsep pendidikan untuk dijual bermula di sini. Ini adalah gila. Lagi gila ialah kerajaan yang membiarkan keadaan ini berterusan.

Seperti yang disebut dalam akhbar beberapa hari yang lalu, manusia yang membentangkan Akta PTPTN, pada 1997, ialah perdana menteri sendiri. Cukup kebetulan!

Inilah situasi pendidikan di Malaysia hari ini. Dengan menukarkan pendidikan kepada padang politik juga bukanlah satu tindakan yang bijak.

Banyak negara yang kehilangan kerajaan akibat kegagalannya untuk mengatasi isu yang dibangkitkan generasi muda. Pendidikan adalah satu isunya.

Sudah terang lagi bersuluh, PTPTN ialah satu kesilapan besar dan hutang pelajar mesti dihapuskan. Kita mesti kembali merangka satu dasar pendidikan yang menyeluruh daripada tahap sekolah rendah ke menengah sehinggalah pendidikan tinggi.

Satu formula mesti ditemui. Satu formula yang terbaik untuk negara dan generasi kemudiannya. Dan jika tuntutan itu termasuk satu piawaiaan yang berkualiti, ia tidaklah murah juga.

Namun, dengan cara kerajaan membelanjakan wang rakyat, saya tidak sangsi bahawa kita mempunyai duit yang cukup untuk satu sistem pendidikan yang baru.
——————————————————————

Diterjemah dari tulisan asal bertajuk PTPTN, shop-house colleges and the government’s blunder. Dr Rosli mendapat PhD dalam bidang Ekonomi Pengangkutan dari Universiti Cranfield, UK. Beliau bertugas sebagai konsultan dan pengarah syarikat sejak 25 tahun lalu dalam bidang infrastruktor asas dan polisi ekonomi.

Hapus PTPTN: Tawaran terhebat buat anak muda

3 Jamadil Awal 1433H

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pengumuman pemimpin Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digantikan dengan pendidikan percuma untuk semua rakyat yang masuk ke universiti jika Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya kelak.

“Bagi DPPM, pengumuman ini merupakan suatu langkah yang baik dan positif bagi membela kebajikan rakyat khususnya golongan anak-anak muda,” kata ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Selama ini, katanya rakyat cukup terbeban dengan pinjaman PTPTN yang sengaja dibuat bagi membuli rakyat dengan pelbagai tekanan hidup.

Pengumuman itu, tambahnya membuktikan bahawa sekali lagi Pakatan Rakyat mendahului Umno BN dalam memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Pastinya janji pemimpin Pakatan Rakyat bukannya janji kosong semata-mata, bahkan telah banyak janji untuk rakyat ditunaikan sepertimana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang laksanakan pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa dengan memberikan khidmat kebajikan terbaik kepada rakyat termasuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat tidak akan membawa negara kepada kemunduran, manjadi muflis dan sebagainya sepertimana yang ditohmah oleh Umno BN.

Menurutnya, negara menjadi bankrap disebabkan oleh salah urus tadbir negara serta amalan rasuah dan ketirisan oleh pemimpin negara, bukan kerana memberikan kebajikan kepada rakyat.
“Dalam hal ini, Umno BN terbukti gagal dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Katanya, mereka terkebelakang dengan banyak agenda membela rakyat oleh Pakatan Rakyat sehingga mereka terpaksa meniru balik apa yang dibuat oleh Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun para graduan tersepit dengan arahan pembayaran balik PTPTN yang amat memeritkan.

Malah, ujar beliau ramai yang masih belum mendapat pekerjaan atau belum berstatus bekerja tetap tetapi dipaksa untuk menjelaskan kembali hutang PTPTN, sehinggakan pelbagai tindakan dikenakan kepada mereka termasuk tindakan undang-undang.

“Pengumuman ini menjadikan Umno akan sekali lagi gelabah, pemimpinnya berpeluh bagi melawan balik janji Pakatan Rakyat.

“Anak-anak muda pula pasti akan membuka mata melihat tawaran terbaik daripada Pakatan Rakyat,” katanya.

Justeru, ujarnya tiada alasan lagi buat rakyat untuk memilih Barisan Nasional memimpin negara, kerana mereka tiada niat untuk menjaga kebajikan rakyat.

Baca lagi:

addin77.blogspot/Rupa-rupanya begini cara PTPTN jana untung besar!

pemudadungun.com/Hapus-faedah-ptptn–pemuda-umno-tidak-jumpa-formula

www.merdekareview/Pemansuhan PTPTN Satu ancaman kepada kapitalisme

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s